kisah empat bersaudara
4:22 PM | Author: BondingSisters
Tersebutlah kisah empat virus denggi bersaudara. Namanya Den-1, Den-2, Den-3 dan Den-4. Mereka membesar dan berkembang biak di rumah yang kecil, tetapi unik kerana rumah mereka adalah rumah bergerak! Itulah si nyamuk Aedes.

Empat bersaudara ini sering bekerjasama dan saling membantu antara satu dengan yang lain. Setelah si kakak menyerang tubuh manusia dan menyebabkan demam denggi (yang seringkali tidak diketahui sebagai demam denggi), si adik pula sekali lagi memasuki tubuh manusia dan menyebabkan terjadinya demam denggi berdarah (dengue high fever; DHF). Kerana itulah DHF sering dikaitkan dengan hipotesis Secondary Heterologous Infection.


Demam denggi mempunyai beberapa ciri.

1) Demam yang terjadi dalam 2-7 hari, biasanya datang tiba-tiba.
2) Pembesaran hati dan/atau limpa
3) Perdarahan dengan provokasi atau spontan (hidung berdarah, bintik-bintik merah di badan, gusi berdarah, berak darah dll)
4) Renjatan/Syok
5) Peningkatan IgG dan/atau IgM (antibodi tubuh)*
6) Kadar trombosit darah < align="justify">* pemeriksaan laboratorium

Tapi jangan risau. Tak semua orang dengan demam denggi akan mengalami kesemua di atas. Ada tahapan-tahapan tertentu yang akan dilalui

Stage 1
Demam selama 2-7 hari dengan uji tourniquet positif. Tidak ada perdarahan spontan

Stage 2
Stage 1 + perdarahan spontan

Stage 3
Nadi cepat & lemah, tekanan darah menurun, hujung tangan & kaki terasa sejuk, gelisah, sakit perut (tanda-tanda renjatan)

Stage 4
Nadi tidak teraba, tekanan darah tidak terukur (tanda renjatan berat)

Demam denggi umumnya tidak bahaya kerana sifat dari penyakit yang disebabkan oleh virus adalah dapat membaik dengan sendiri (self-limiting disease). Namun, tetap perlu berhati-hati jangan sampai terjadi renjatan (stage 3 & 4). Caranya, pastikan pesakit minum air yang banyak untuk menggantikan cairan tubuh yang hilang akibat perjalanan penyakit itu sendiri.

Pesakit demam denggi biasanya tidak perlu ditahan di hospital selagi pesakit dapat makan dan minum dengan baik. Namun jika pesakit sering muntah atau tidak mahu makan/minum, pesakit perlu dirawat di hospital untuk disuntik cairan melalui salur darah. Penting untuk memastikan pesakit demam denggi mempunyai air yang cukup kerana dalam keadaan kekurangan cairan dalam tubuh dapat menyebabkan terjadinya renjatan, malah dapat menyebabkan kematian. Juga perlu diperhatikan, jika pesakit mula merasa sakit kepala, sakit perut atau mengantuk (asyik nak tidur aje..), segeralah bawa berjumpa doktor.





Nyamuk Aedes

Seperti yang dinyatakan di atas, nyamuk Aedes adalah makhluk penyebar virus denggi. Ia mampu memindahkan virus dari seseorang kepada orang lain. Maka adalah penting untuk kita membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

Pastikan kolah mandi anda dibersihkan setiap minggu, alas pasu-pasu bunga anda tidak bertakung air, longkang di luar rumah dibersihkan dan tempat-tempat penampungan air ditutup.


Fakta tentang demam denggi
- Seseorang boleh saja terkena demam denggi lebih dari sekali
- Kanak-kanak lebih sering terkena demam denggi kerana sistem pertahanan tubuh yang tidak kuat
- Awal penyakit tidak menampakkan sifat-sifat yang khas. Mungkin pesakit hanya mengalami lemah badan, cepat penat, tidak selera makan, sakit sendi dan pinggang, sakit otot dan sakit perut
- Kes demam denggi biasanya meningkat pada musim hujan
- Kalau tiba-tiba demam dan berlangsung selama > 2 hari, cepatlah bertemu doktor!


tu aje~semoga bermanfaat
.:datang dan pergi:.
7:30 AM | Author: BondingSisters
Alam tidak akan pernah mengkhianati sunnatullah. Setiap hari manusia datang, dan setiap hari manusia pergi.

Hari ini aku mendapatkan berita gembira berupa kehadiran ahli keluarga baru, sedang baru semalam aku mendapatkan berita sedih berupa pemergian ayahanda seorang sahabat.
Salam takziah buat teman, Tuan Mohd Azlan yang baru kematian ayahandanya. Semoga arwah digolongkan dalam golongan orang yang beriman, dan semoga beliau dan keluarga redha dengan pemergian ini.

Juga,
Tahniah buat Usayd dan Kak Aween, mendapat gelaran baru - Abah dan Mak.
Tahniah buat Along dan Abang Azim, mendapat gelaran baru – Pak Long dan Mak Long.
Tahniah juga buat seisi keluarga (termasuk diri sendiri), walaupun tetap dengan gelaran yang sama :)

Selamat datang, Uzayr bin Usayd. Semoga kelak menjadi anak yang soleh.

* Giliran ‘kedatangan’ kita sudah berlalu. Entah bila giliran ‘pemergian’ kita...

JwiSa~
Makassar
9.46pm, 15 Nov 2009
Biografi Unik!
8:39 AM | Author: BondingSisters
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki seluruh alam ini. Maha Suci Allah, yang telah mengilhamkan kepada kita iman dan kemudian melimpahi kita dengan rahmatNya.

Hari itu, untuk ke sekian kalinya aku berkunjung ke kedai buku di Makassar. Layaknya seperti rakyat Malaysia melihat kedai buku Popular, demikianlah kami di sini melihat Gramedia. Seperti biasa, aku tidak mempunyai tujuan khusus untuk membeli apa-apa. Aku datang untuk meninjau, kalau-kalau ada buku yang menarik untuk aku beli dan baca. Lagipun tak lama lagi aku akan melalui beberapa hari tanpa tugas di rumah sakit. Bercuti seminggu sebelum kembali meneruskan rutin di koas. Maka aku perlu sesuatu untuk di baca. Mudah-mudahan ada barang bagus!

Rak-rak novel menjadi tujuanku. Melihat satu per satu. Hmm..tiada yang menarik minatku. Kebanyakan novel sekarang banyak memuatkan tema seperti mana yang di angkat oleh Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy) dalam karyanya Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di Atas Sajadah Cinta dan seumpanya. Minta maaf, aku tak berminat. Mungkin terlalu banyak kata-kata cinta membuatkan aku muak. Adapun novel-novel yang lain adalah cerita-cerita klasik dari negara luar yang telah dialih bahasa... Melihat, mencari, membaca sinopsis dan meletakkannya kembali. Akhirnya aku hanya memujuk diri. “Tak pe lah. Lain kali...”

Hingga saat aku ingin melangkah keluar dari ruang yang sarat dengan buku itu, tiba-tiba mataku terpaku pada sebuah buku yang sederhana. Entah apa yang menarik. Adakah kerana ‘bajunya’ berwarna warna kegemaranku? Tanpa berfikir panjang aku terus mencapainya, membaca sinopsis sepintas lalu dan membelinya!

Ku catat namaku.

Maimanah Mohd Rashid,
31 Oktober 2009, Makassar.

Mencari sisi-sisi menarik dari buku ini, aku cuba membaca Pernyataan Penulis di halaman pertama. Semoga aku lebih terpancing untuk menghabiskan bacaanku ini.

“Semua penilaian, pendapat serta ulasan berkenaan dengan biografi Syaikh al-Banna, serta semua catatan dan komentar berkenaan Imam Syahid-yang terdapat dalam buku ini-adalah pendapat peribadi penulis belaka. Adapun segala sesuatu yang menjadi akibat dari semua itu sepenuhnya menjadi tanggungjawab penulis. Satu-satunya keistimewaan penulis dalam hal ini adalah segitiga ikatan yang mempertautkan masing-masing kami, yakni Imam Syahid, ayahnya serta saudara kandung beliau (saya). Keistimewaan yang sekaligus mendorong penulis sebagai ‘tunas terakhir’ bagi sang ayah, serta adik kandung bagi sang Imam...”

Subhanallah, rupa-rupanya buku ini adalah hasil tulisan seorang anak tentang ayahnya yang amat komited dengan ilmu dan sunnah sehingga bagaimana peribadi inilah yang kemudiannya membentuk seorang tokoh ulama yang unggul, Imam Syahid Hasan Al-Banna!



Demikianlah, aku rasakan buku ini amat unik - Lelaki Penggenggam Kairo; Sosok Di Balik Perjuangan Hasan Al-Banna. Ditulis oleh Ahmad Jamaluddin.

Sekali-sekali aku cuba membayangkan jika aku sedang menulis biografi abah untuk dibukukan :)

Buku setebal 265 halaman ini memuatkan dua bahagian utama, 1) Mengungkap Jejak Ahmad Abdurrahman al-Banna (sang ayah), dan 2) Surat-Surat (tak terpublikasikan) Imam Hasan al-Banna.


Mengungkap Jejak Ahmad Abdurrahman al-Banna


Secara garis besar, bab ini menceritakan bagaimana tingginya tekad dan azam Syaikh dalam merealisasikan cita-citanya. Beliau memiliki perpustakaan peribadi yang memuatkan banyak buku tafsir, hadis dan buku-buku lainnya. Namun ada satu buku yang paling menarik minat beliau iaitu kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal asy-Syaibani (terdiri dari 6 jilid besar). Ayahanda Syeikh memberi fokus dan tumpuan untuk mengkaji dan memahami kitab ini.


“Kitab ini laksana lautan luas yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Ombaknya adalah ilmu yang menggelombang semetara tidak ada pelabuhan di situ. Rasanya tidak mungkin bisa ‘memancing’ ilmu-ilmu dan permata yang terdapat di dasarnya.


Kerana itu, timbullah panggilan dari dalam jiwa saya untuk menyusun isi kitab ini dalam bentuk pasal dan bab. Semua hadis yang terdapat di dalamnya saya ikat dan kelompokkan dalam bab dan pasal tertentu. Saya hubungkan antara yang satu dengan yang lain, serta saya terangkan qarinah-qarinahnya. Saya dudukkan setiap persoalan bersama persoalan yang serupa.


Namun menghadapi semua itu saya merasa kerdil. Saya lemah. Hanya saja, motivasi ini semakin menyala-nyala. Ada pertarungan antara keinginan dan kemampuan. Belum lagi saya berfikir bagaimana menghadapi rasa bosan apabila menghadang di tengah jalan. Bagaimana kalau rasa letih mendera.


Akan tetapi, Allah berkehendak lain. Allah swt tetap menginginkan cahaya bersinar sempurna. Azam yang kuat, niat yang besar, dan taufiq dari Allah swt membuat saya berhasil mewujudkan semua cita itu..”


Cita-cita ini bukanlah sesuatu yang mudah. Melihat kepada kondisi ayahanda Syeikh - seorang lelaki yang terbatas pergerakannya, tidak begitu terkenal, tiada penghasilan khusus dan memiliki keluarga besar (5 anak lelaki & 3 anak perempuan, satu meninggal sewaktu kecil), di tengah-tengah bandar kecil yang jauh dari kota (Cairo).


Bahkan Imam Ibnu Katsir pernah cuba membuat Tartib al-Musnad tetapi belum berhasil.


“Aku masih saja melihat dan mengkajinya (al-Musnad), sementara lampu yang menerangiku telah meredup, hingga akhirnya mataku pun menjadi rabun”


Buku ini seterusnya memberi gambaran betapa besarnya pengorbanan ayahnda Syeikh demi merealisasikan citanya. Bagaimana dipertengahan beliau sempat memutuskan untuk berhenti, tetapi Allah jua yang memberi kekuatan dan kemampuan kepadanya. Sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama, apakah faktor yang mendorong beliau untuk berdiri teguh?


(Dari Shuhaib bin Siran r.a, Rasulullah saw bersabda : Ketika ahli syurga telah masuk ke dalam syurga, maka mereka diseru : “Wahai penduduk syurga, sesungguhnya Allah masih memiliki janji dengan kalian yang belum kalian lihat.” Lalu penduduk syurga menjawab: “Janji apakah lagi itu? Bukankah wajah kami telah diceriakan? Bukankah kami telah dihindarkan dari api neraka? Bukankah kami telah dimasukkan ke dalam syurga?” Maka seketika itu dibukalah hijab pembatas, lalu mereka melihat kepada Allah swt. Rasul berkata: “Demi Allah, tidaklah ada pemberian Allah yang lebih mereka sukai daripada itu”


Kemudian Rasulullah saw membaca ayat firman Allah : “Sesungguhnya orang-orang yang berbuat baik itu akan memperoleh syurga dan juga tambahan nikmat (iaitu melihat Allah swt)” [Yunus 10 : 26]


Ayahanda Syeikh berkata : “Setiap kali saya dihinggapi rasa bosan, saya pun membaca hadis tentang ‘Melihat Allah saw’ di atas, maka semangat saya pun menggebu kembali..”


Subhanallah. Motivasi teragung beliau adalah Allah. Beliau menghadirkan Allah dalam setiap langkah pembuatan kitab ini, sentiasa memohon doa dan petunjuk yang terbaik sepanjang penyusunan semula kitab tersebut. Alangkah baiknya jika kita juga mampu mencontohinya.


Kitab ini (alFath ar-Rabbani/Anugerah Allah) akhirnya berjaya ditulis oleh beliau sebanyak 22 jilid sehingga detik akhir kehidupannya. Dua jilid terakhir (jilid 23 & 24) diteruskan oleh keluarga dan sahabat-sahabat beliau.


Surat-Surat (tak terpublikasikan)Imam Hasan al-Banna.





Bab kedua ini sedikit menceritakan permulaan hidup Imam Syahid dan banyak memuatkan surat-surat yang dikirim oleh Imam Syahid kepada ayahandanya yang disebut dalam suratnya sebagai ‘Tuanku ayahanda yang mulia’ (sedekimian beliau menghormati dan menyanjungi ayahnya). Ketika itu Imam Syahid berada jauh dari keluarga, bekerja di Athaf, Ismailiyah dan Qana. Beberapa fakta tentang Imam Syahid :


1) Imam Syahid sentiasa menjaga hubungannya dengan kedua orang tuanya, mengirim khabar dan merincikan setiap satu yang dilakukan di sana. Tidak lupa beliau menasihati ayahnya, meminta pandangan untuk beberapa perkara, serta turut membantu ayahnya mendidik adik-adik beliau.

2) Imam Syahid merincikan setiap penggunaan wang gajinya kepada ayahnya. Beliau menganggap ayahnya ‘mempunyai hak’ untuk mengetahui tentang setiap pengeluaran wangnya meskipun wang itu adalah gajinya sendiri.

3) Saiful Islam adalah nama salah seorang anak Imam Hasan al-Banna!
4) Puisi/syair gubahan Tharfah bin al-‘Abd tentang Imam Syahid
Ketika orang berkata
Siapa dia pemuda itu?
Yang dimaksud itu adalah aku
Sebab aku tak pernah malas dan bersikap bodoh

5) Sejak awal, Imam Syahid memang bercita-cita menjadi pendidik, terutamanya kepada anak-anak. Baginya, mengajar anak-anak adalah sebagai persiapan mendidik orang dewasa. Beliau belajar di Darul Ulum bagaimana menjadi pendidik yang baik, mengedepankan teladan, dengan teknik-teknik kesantunan seperti berwajah manis, mengingat nama saudara dan sebagainya. Memang kemampuan ini boleh dimiliki setiap peribadi, namun pembelajaranlah yang membuatnya semakin berkembang dan mendalam. Kemampuan inilah kemudiannya menjadikan Imam Syahid sebagai pemimpin Ikhwanul Muslimin yang disegani dan dihormati.
6) Wajah Imam Syahid lebih banyak mewarisi iras ibunya berbanding ayahnya.
7) Imam Syahid berkahwin dengan isteri pilihan ibunya, seorang wanita pemalu yang bertubuh tinggi, berkulit putih dan berperibadi anggun. Sedang saudaranya yang lain masing-masing berkahwin dengan wanita/lelaki pilihan sendiri.


* * *

Demikian secara ringkas sinopsis dari buku ini. Banyak lagi mutiara dan permata yang tidak sempat aku bagi-bagikan. Kalau nak lebih, bacalah sendiri! :)
Note :
- Buku ni tak mahal, hanya Rp 33,500 (RM 12.00)
- Bagi sahabat-sahabat di Malaysia, kalau nak buku ni insyaAllah boleh dibelikan..kalau stok masih ada!

Promosi :
Baca jugak buku ni, kisah perjuangan tokoh muslimah Zainab AlGhazali sebagai sayap kanan Ikhwanul Muslimin. Menggugah semangat!
(Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 4 Ogos 2005 yang lalu. Semoga Allah merahmati beliau)


Wallahu'alam.

JwiSa~
9.00 am, 12 November 2009
Sunnah Berjuang
12:47 AM | Author: BondingSisters
Yang namanya perjuangan itu tidak pernah sepi dari jerih dan payah, tidak pernah lekang dari sebuah pengorbanan dan kesabaran. Tidak dapat tidak, ia mesti dilalui dengan sebuah tekad dan kesugguhan. Sahabat, inilah medan perjuangan kita..!

SUNNAH BERJUANG

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara memburu cita
Membara demi Allah dan rasulNya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Sudah sunnah berjuang..
Ke jalan Allah..

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu di bayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan
Dunia yang fana atau syurga


[sebuah nasyid lama yang diberi nafas baru]

Lup Dup
12:19 PM | Author: BondingSisters
Maaf. Sudah lebih seminggu teratak hijau ini tidak membawa khabar. Tidak senang hati melihat bilangan pengunjung semakin bertambah, sedangkan laman ini masih juga tidak berganjak.


Ada satu soalan mudah. Apa fungsi kereta? Jawapannya pasti anda semua tahu. Kereta adalah salah satu kenderaan yang dapat membawa kita ke mana-mana yang dikehendaki.

Soalan kedua. Apakah yang menyebabkan sebuah kereta dapat bergerak – menjalankan fungsinya? Selain struktur mesin yang lengkap, ia memerlukan ‘makanan’ berupa minyak (dan yang setara dengannya) untuk mampu berfungsi sebagai kenderaan.

Soalan berikutnya.

Anda tahu fungsi jantung? Pasti ramai yang tahu... Jantunglah yang bertanggungjawab mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Tanpa darah, seluruh tubuh kita tidak mendapat oksigen yang diperlukan untuk menjalankan semua fungsinya. Kita mati tanpa darah. Betapa pentingnya jantung yang berdegup di dalam dada anda.

Cuba dengar degupan jantung anda. Lup dup..lup dup.. setia, setiap saat tidak lupa untuk berdegup.

Soalan terakhir. Kalau ‘makanan’ kereta adalah minyak, apa pula makanan bagi jantung??

Oleh kerana jantung juga adalah sebahagian dari tubuh, maka jawapannya adalah darah!

Tapi, kalau fungsi jantung sendiri memompa darah ke seluruh tubuh, dari mana pula jantung mendapat makanannya?

Macam ni...

Darah keluar dari jantung menuju ke seluruh tubuh melalui satu salur darah terbesar dalam tubuh, namanya aorta. Tapi, tak semua darah dari jantung akan masuk ke aorta. Di pangkal aorta ada satu cabang salur darah yang agak kecil, yang mengalirkan darah ke otot-otot jantung. Namanya, arteri koroner. Arteri inilah yang membawa ‘makanan’ kepada jantung, agar nantinya jantung dapat bekerja dengan optimal.

Bayangkan jika ada masalah pada arteri koroner ini. Mesti otot jantung tak cukup makanan, kan? Inilah yang difahami oleh orang awam sebagai ‘serangan jantung’, dan para doktor mengenalnya sebagai ‘coronary artery disease’



Masalah 1

Doktor : Assalamualaikum, makcik..kenapa makcik, ada yang boleh saya tolong?

Makcik : Wa’alaikum salam..ni doktor, pagi semalam makcik sakit dada..kat sebelah kiri ni (sambil mengurut-urut dadanya). Makcik baru balik dari pasar. Sampai je rumah, tiba-tiba rasa sakit. Habis basah ni, berpeluh. Sakit tu rasa macam ada yang hiris-hiris dada makcik ni. Sakit betul! Sampai ke belakang rasa sakitnye. Leher pun rasa tegang. Tangan kiri makcik ni pun sakit. Tangan kanan tak sakit pulak.. kenape ye doktor?

Doktor : Kejap ye makcik, biar saya periksa dulu. Masa sakit tu makcik buat ape?

Makcik : Hmm..makcik duduk kejap. Agaknye penat sangat kot. Memang banyak barang makcik beli kat pasar. Kebetulan pulak anak makcik ade hal tak dapat ambik makcik. Jadi makcik balik jalan kaki je la. Bukannya jauh sangat pasar tu. Makcik duduk dekat tepi masjid tu je ha!

Doktor : Ooo..habis tu, bila makcik rehat..sakit lagi?

Makcik : Alhamdulillah la tak sakit dah lepas tu. Ade la dalam 3-4 minit sakitnye. Tapi doktor, petang tu kat kebun datang pulak sakitnye. Risau makcik. Tu yang makcik datang jumpe doktor ni... memang makcik perasan 2-3 minggu ni makcik rasa sakit-sakit dada ni kalau penat. Isk, tak sedap hati le makcik...

Hmm, makcik ni memang peramah :)

Apa yang terjadi pada makcik ni adalah, jantung tak dapat makanan yang cukup sedangkan jantung perlu bekerja lebih ketika makcik ni berjalan kaki dari pasar, dan ketika berkebun pada sebelah petangnya. Masalah tak muncul pada keadaan rehat, sebab jantung pun tidak bekerja lebih. Kemungkinan, arteri koroner makcik ni dah menyempit akibat pembentukan plak di dindingnya. Jadi hanya sedikit jumlah darah yang dapat melaluinya.

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Stable Angina Pectoris. Doktor akan memberikan ubat yang hanya dimakan (diletakkan di bawah lidah) ketika sakit.




Masalah 2

Man : Assalamualaikum, Pak Lang. Dengar kata Mak Lang masuk hospital ye? Kenape Pak Lang?
Pak Lang : Iye.. Mak Lang kamu kat hospital sekarang. Doktor kata dia sakit jantung.

Man : Innalillah. Mak Lang sakit dada ke?

Pak Lang : ha’ah, dah seminggu sakit. Sebelah kiri katanye. Mula-mula kalau dia penat je sakit. Tapi hari Selasa hari tu, tak hilang-hilang sakitnye. Tengah tengok tv pun kadang sakit. Lama pulak tu. Lebih la setengah jam kot! Kesian tengok Mak Lang kamu...kami terus la bawak dia pergi hospital.. Alhamdulillah, nampak dah ok sikit. Tapi doktor kata Mak Lang kene rehat dulu 2-3 hari kat sana..

Man : Elok la tu, biar Mak Lang rehat. Kalau kat rumah pun mesti tak boleh duduk diam. Ade je yang nak dibuatnye..

Nampak bezanya?

Mak Lang pun sakit dada, keadaannya sama dengan makcik tadi. Cuma, sakit Mak Lang lebih lama, dan tak hilang walaupun berehat. Kemungkinan plak di dinding arteri koroner Mak Lang mengalami luka, menyebabkan tubuh kita cuba untuk ‘menutup’ luka tersebut dengan platlet dan trombin. Akhirnya terjadi sumbatan pada arteri koroner. Darah tidak dapat melaluinya, dan jantung menjerit.. “Aku nak oksigen!!!”

Sakitlah si Mak Lang...

Keadaan ini difahami oleh para doktor sebagai Unstable Angina Pectoris, dan perlu penanganan segera..!

Sakit jantung adalah pembunuh nombor satu negara.

Perlu diketahui, tidak hanya orang-orang yang terlantar di wad-wad pesakit jantung atau mereka yang menerima ubat jantung sahaja berhadapan dengan masalah ini. Sebaliknya, masyarakat di luar sana yang sibuk bekerja setiap hari, berjalan mundar mandir ke sana sini pun.. tidak terlepas dari ancaman sakit jantung. Proses pembentukan plak di arteri koroner anda tetap saja berjadi, hanya saja mungkin jantung anda masih ‘macho’ dan gagah menjalankan fungsinya.

Namun perlu juga diketahui, tidak semua pesakit jantung akan ‘dibunuh’ oleh jantungnya. Asalkan anda rajin mengunjungi doktor untuk pemeriksaan, rajin makan ubat seperti yang dianjurkan, dan tidak melanggar ‘pantang larang’, insyaAllah keadaan akan dapat dikawal. (pesakit jantung akan memerlukan ubat seumur hidupnya..)

Ada beberapa golongan/keadaan yang berisiko tinggi mendapat penyakit jantung.

Perokok, orang tua, lelaki, tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan, menghidap kencing manis, kolesterol darah tinggi, atau mungkin ada anggota keluarga anda pernah sakit jantung.

Dan ada beberapa hal yang dapat mencetuskan serangan jantung.

Minum kopi, stress, marah, makan yang berlebihan dan kerja yang berlebihan.
Anda di golongan mana? Siapapun anda, pergilah bertemu doktor untuk pemeriksaan rutin. Sebagaimana seorang pencinta kereta secara rutin ‘memeriksakan’ keretanya ke bengkel, jadilah seorang ‘pencinta diri’ yang secara rutin memeriksakan dirimu ke doktor (terutama mereka yang berusia diatas 45 tahun). Mencegah lebih baik daripada mengubati!



Note :
1- Coronary Artery Disease hanya salah satu dari sekian banyak penyakit jantung..
2- Doakan kami ujian di Cardiology minggu depan! :)


Maimanah, doctor-to-be (insyaAllah)
27 Okt 2009